Wednesday, August 13, 2008

Melayu tidak serius martabatkan bahasa

IPOH 15 April - Sikap orang Melayu yang tidak bersungguh-sungguh dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menyebabkan bahasa itu terus terpinggir di negara sendiri.

Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia, Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, kejahilan mereka itu juga menyebabkan bidang pembangunan yang berpengaruh tidak menggunakan bahasa Melayu.

''Kerajaan telah membuat keputusan sewenang-wenangnya mengubah bahasa pengantar sains dan matematik daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris pada 2003 menyebabkan kita kembali mengagungkan bahasa penjajah itu.

''Sebelum ini, penggunaan bahasa Melayu dalam mata pelajaran sains dan matematik telah terbukti apabila lebih 500,000 pelajar daripada semua kaum lulus dalam mata pelajaran itu.
''Dasar mengutamakan bahasa Melayu dalam mata pelajaran itu telah melahirkan banyak profesor dan pensyarah yang mengajar pelbagai bidang sains dan matematik dalam bahasa Melayu di pusat pengajian tinggi awam (IPTA)," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama 'Memperkasa Bahasa Melayu Sebagai Salah Satu Bahasa Yang Berpengaruh di Dunia' pada Seminar Mengangkasakan Bahasa Melayu di sini hari ini.

Secara jelas Hassan berkata, penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran itu oleh orang Melayu telah memusnahkan dasar yang sebelum ini berjaya dan diterima oleh semua kaum di negara ini.

Menurut beliau, bahasa Melayu sudah terbukti menjadi alat yang berpengaruh lebih 700 tahun dahulu.

Tambahnya, ini kerana bahasa merupakan alat yang digunakan oleh manusia untuk berfikir, mencipta dan mengembangkan ilmu, menghasilkan karya sastera dan seni.

''Apabila bahasa sesuatu bangsa itu disekat ini bererti tamadun dan kemajuan bangsa turut disekat. Akibatnya mereka tidak akan pandai berfikir lagi," katanya.

Katanya, bahasa Melayu merupakan bahasa kelima yang berpengaruh di dunia dengan lebih 280 juta penutur selepas bahasa Inggeris (1,400 juta penutur), bahasa Cina (1,000 juta penutur), bahasa Hindi (700 juta penutur) dan bahasa Sepanyol (lebih 300 juta penutur).

No comments: